Sebelum memahami sejarah kemunculan agama-agama di atas muka bumi ini, kita terlebih dahulu perlu mengetahui sejarah peradaban manusia dan tamadun-tamadun yang menjadi pusat kemunculan agama tersebut.
Buat pengetahuan, dunia ini diperintah oleh manusia sejak turunnya nabi Adam sebagai seorang Khalifah yang ditugaskan untuk memakmurkannya. Bumi seterusnya diperintah oleh anak-anak nabi Adam. Kemudian, keturunan nabi Adam bernaung dibawah pemerintahan nabi Idris sebagai satu umat manusia yang berkerajaan.
Inilah tamadun yang terawal dalam sejarah peradaban manusia. Manusia pada zaman awal telah memiliki tamadun yang agung.Namun semua ini musnah gara-gara kesombongan manusia ketika mereka menguasai dunia ini. Manusia telah melupakan Allah lalu memilih jalan-jalan maksiat sebagai pedoman hidup. Hal ini mengundang kemurkaan Allah lalu Dia mengirimkan banjir besar bagi melenyapkan segala peradaban ini.
Sehingga kini, kerajaan-kerajaan tersebut masih menjadi sebuah misteri. Sedikit sahaja informasi berkaitan hal ini kita peroleh.Selepas peristiwa banjir besar, umat manusia hanya terdiri daripada keturunan nabi Nuh melalui tiga putera baginda iaitu Sam, Yafits dan Ham. Hanya sekitar 80 orang yang terselamat daripada banjir besar tersebut kerana menaiki bahtera nabi Nuh.
Mereka ini kembali mendirikan tamadun manusia yang hebat setelah terdamparnya bahtera tersebut di bukit Judiy. Keturunan Sam mendirikan semula kerajaan di seluruh kawasan selatan bukit Judiy. Keturunan Yafits pula menguasai seluruh kawasan di utara bukit Judiy. Manakala keturunan Ham pula jauh mengembara ke seluruh kawasan barat dan beberapa kawasan timur dari bukit Judiy.
Keturunan mereka mendiami kawasan-kawasan tersebut dan membina sebuah kehidupan serta tamadun yang baharu.Kota-kota seperti Sumeria, Akkad, Ur dan sebagainya adalah hasil usaha keturunan Sam. Kota-kota yang mula wujud pada tahun 3500 sebelum masihi (SM) ini lebih dikenali sebagai tamadun Mesopotamia. Tamadun ini dibina di antara Sungai Tigris (Dajlah) dan Sungai Euphrates (Furat).
Peperangan sering berlaku antara warga kota tamadun Mesopotamia bagi menguasai dataran yang subur tersebut.Sekitar tahun 3200 SM, Raja Namer (Menes) menyatukan kota-kota yang didiami keturunan Ham di utara dan selatan sungai Nil. Dia mengasaskan sebuah kerajaan yang dikenali sebagai tamadun Mesir Purba. Selain itu, terdapat segolongan manusia yang mula mengasas kerajaan di timur dunia pula. Mereka mendirikan kerajaan di Sungai Indus pada tahun 2500 SM. Kerajaan ini dikenali sebagai tamadun Indus
Pada sekitar tahun 2300 SM pula, muncul seorang penakluk agung daripada keturunan Ham yang bernama Namrud bin Kush. Namrud menawan serta menyatukan kota-kota dalam tamadun Mesopotamia di bawah satu pemerintahan. Dia turut membina sebuah kota yang amat agung bernama Babel. Kota ini dijadikan pusat pemerintahannya.Namrud membina sebuah kerajaan yang merangkumi kawasan di barat, timur, selatan dan sebahagian utara. Lama-kelamaan kota ini berevolusi menjadi sebuah empayar yang pertama di dunia.
Empayar ini dikenali sebagai empayar Babylon. Kerana inilah Namrud (Naram Sin) ingin digelar sebagai Raja Empat Penjuru Alam. Malah dia turut memaksa rakyat jelata menyembahnya sebagai Tuhan. Keimanan manusia ketika itu telah rosak gara-gara mematuhi arahan tersebut.Manusia yang mendiami kerajaan-kerajaan tamadun Mesopotamia dan Mesir Purba telah bergelumang dengan kesyirikan.
Ketika inilah munculnya nabi Ibrahim bagi membawa agama Islam yang lurus (Hanif) kepada manusia. Allah mengutus nabi Ibrahim untuk menyebarkan agama Tauhid ini kepada seluruh kaumnya yang mendiami kerajaan-kerajaan agung ketika itu. Semua manusia ketika itu amat mengenali nabi Ibrahim terutamanya setelah baginda siap membangunkan semula Kaabah.
Seruan nabi Ibrahim agar manusia menyembah Tuhan yang maha Esa didengari oleh seluruh manusia di Timur dan Barat. Nabi Ibrahim juga menyeru agar manusia menghormati dan menziarahi Kaabah. Nabi Ibrahim digelar Abul Anbiya’ (Bapa Para Nabi) kerana nabi Ibrahim dan keturunan baginda berjaya membawa manusia mengenali semula agama Tauhid.
Sejak ini, agama monotheism berkembang semula di seluruh kerajaan manusia sama ada di timur mahupun barat berkat dakwah nabi Ibrahim. Agama Tauhid ini kemudiannya terus disebarkan oleh para nabi yang diutuskan kepada kaum masing-masing. Dalilnya dalam ayat surah Yunus petikan ayat 47 iaitu, “Dan bagi setiap umat ada seorang Rasul yang diutuskan (kepada mereka)”.
Agama Tauhid tersebar luas sebelum ianya dicemari semula oleh manusia yang mewarisinya pada kemudian hari. Sejarawan menggelarkan zaman ini sebagai zaman peningkatan tamadun.Setelah lama tamadun Mesopotamia menghias pentas sejarah, datang pula Maharaja Cyrus pada tahun 550 SM yang membentuk empayar Parsi Dinasti Achaemenid. Penguasaan tamadun Mesopotamia dilenyapkan oleh keturunan Maharaja Cyrus pada tahun 539 SM.
Empayar Farsi turut menjajah kerajaan Mesir Purba pada tahun 525 SM. Kemudian, datang pula seorang penakluk dari Makedonia yang bernama Maharaja Alexander (sebutan Arabnya, al-Iskandar) lalu meranapkan seluruh empayar Parsi pada tahun 330SM. Dia menyebarkan budaya dan penguasaan kaum Yunani (Hellenistik) lalu mengasaskan empayar Yunani (Greek).
Empayar ini merupakan empayar yang amat besar kerana merangkumi sebahagian kerajaan Mesir Purba sehingga sebahagian tamadun India.Setelah kematian Maharaja Alexander, empayar ini berpecah menjadi tiga bahagian kerana terlampau besar. Empayar ini dibahagi-bahagikan oleh jeneral tentera Maharaja Alexander.
Bahagian barat yang merupakan kawasan Mesir Purba dikuasai oleh Jeneral Ptolemy I Soter. Kawasan ini kemudiannya dikenali sebagai kerajaan Mesir Purba dinasti Ptolemaic.Kawasan timur pula adalah kawasan yang dikuasai oleh Jeneral Seleucus I Nicator. Kawasan ini dinamakan empayar Seleucid. Ianya bersempadan dengan empayar Maurya (tamadun India) dan kerajaan Ptolemaic.
Empayar Seleucid kemudiannya digugat oleh bangsa Syria, Parsi dan sebagainya. Bangsa Parsi giat memberontak bagi menumbangkan kekuasaan empayar Seleucid. Beberapa dinasti empayar Parsi tertegak semula setelah tumbangnya empayar Seleucid. Bangsa Parsi mendirikan semula peradaban mereka. Antara dinasti Empayar Parsi yang popular dalam lipatan sejarah ialah Dinasti Sassanid.Kawasan utara bekas empayar Yunani pula dikuasai oleh penduduk setempat di kawasan tersebut.
Lama-kelamaan, kawasan ini ditawan pula oleh bangsa Latin. Mereka ingin meluaskan tanah jajahan Republik Rom. Tamadun bangsa Latin (Rom) perlu diteliti satu persatu kerana tamadun ini begitu kompleks untuk dihuraikan.Buat pengetahuan pembaca, tamadun Rom bermula dengan kisah lagenda Remus dan Romulus sebagai orang yang pertama mendiami Lembah Latium. Kemudian dengan terbinanya kota Rom, tamadun ini berkembang pesat pada tahun 753 SM sewaktu dibawah pemerintahan Romulus iaitu raja yang pertama di situ.
Pada tahun 509 SM, tamadun ini mula dikenali sebagai Republik Rom setelah tamatnya corak pemerintahan secara monarki. Corak pemerintahan republik muncul kerana berlaku pertikaian antara orang-orang Etruscan dengan golongan bangsawan Latin (Patrician) bagi memerintah semenanjung Itali.Republik Rom berkembang pesat lalu mereka mula menjajah kawasan sekitar. Mereka menawan kota bangsa Yunani dan kota yang terdapat di semenanjung Iberia (Sepanyol dan Portugal). Mereka juga mula menyerang kerajaan Mesir Purba dinasti Ptolemaic.
Kemuncak kegemilangan Republik Rom adalah ketika mereka menguasai sebahagian besar kota-kota di kawasan eropah termasuklah di Perancis dan Jerman.Oleh kerana keluasan Republik Rom terlampau besar, terjadilah perebutan kuasa dalam kalangan Senator. Senator ialah barisan Patrician yang memerintah republik ini melalui sistem konsul. Perebutan kuasa tersebut mengakibatkan sering berlakunya perang saudara. Sebagai contoh, Senator Julius Caesar menjadi praetor (panglima tentera) lalu memimpin pasukannya menentang pasukan Jeneral Pompey.
Setelah Julius Caesar memenangi peperangan tersebut, dia menamatkan sistem pemerintahan republik. Dia menggunakan sistem diktator bagi memerintah Rom lalu bergelar Maharaja. Setelah kematian Julius Caesar, takhta Rom diambil alih oleh anak saudaranya iaitu Maharaja Octavian. Maharaja Octavian giat berperang dengan Empayar Mesir Purba dinasti Ptolemaic.Ketika itu, Mesir Purba diperintah oleh Ratu Cleopatra dan dibantu oleh musuh Maharaja Octavian iaitu Marc Anthony. Peperangan ini dikenali sebagai Perang Actium.
Setelah Maharaja Octavian memenangi peperangan ini, dia menawan Mesir Purba. Maharaja Octavian dengan rasminya mendirikan Empayar Rom pada tahun 27 SM lalu dia digelar Augustus Caesar. Dia juga menawan saki-baki empayar Seleucid di Timur.Kemuncak Empayar Rom adalah pada ketika separuh benua eropah termasuklah wilayah Britain dijajah oleh mereka. Kerana inilah Empayar Rom disebut sebagai pengasas ketamadunan bangsa-bangsa eropah.Pada abad ketiga, empayar Rom mengalami krisis yang menyebabkan empayar ini sering berperang dan terpisah-pisah.
Empayar Rom dipecahkan kepada dua bahagian secara rasminya oleh maharaja Diocletian pada tahun 285 Masihi. Empayar Rom diperintah oleh beberapa Raja dalam waktu yang sama.Kemudian, pada tahun 330 Masihi, Maharaja Constantine I memindahkan pusat pentadbiran empayar Rom ke kota bangsa Greek iaitu kota Byzantium. Dia menukar nama kota tersebut menjadi kota Kontantinople. Dialah yang membawa masuk agama Kristian kedalam empayar Rom setelah asas ajaran nabi Isa diubah olehnya agar selari dengan agama pagan masyarakat Rom kuno.
Oleh itu, terbentuklah empayar Rom Timur atau dikenali sebagai empayar Byzantine di wilayah Greece dan empayar Rom barat yang berpusat di semenanjung Itali. Namun, pada 4 September tahun 476 Masihi, puak Germanik menyerang empayar Rom barat lalu melenyapkan institusi beraja tamadun tersebut. Bermulalah Zaman Gelap bagi bangsa eropah sebelah barat .
Pada abad kelima dan keenam, Rom barat tidak begitu menonjol kerana peradaban ini sedang dirundung kegelapan. Oleh itu, tamadun yang menguasai dunia ketika zaman hayat Rasulullah SAW ialah empayar Byzantine dan empayar Farsi dinasti Sassanid. Peperangan sering berlaku di bahagian Rom barat. Suku Frank, Germanik, Rom dan Brittania berlumba-lumba untuk menguasai wilayah tersebut.
Setelah lama berperang, maka wujudlah satu pemerintahan dan kerajaan baharu yang digelar Empayar Suci Rom. Empayar ini dianggap sebagai pewaris empayar Rom barat. Begitulah sejarah menceritakan kewujudan kerajaan-kerajaan awal bangsa eropah. Empayar Rom sama ada di timur mahupun barat, kedua-duanya berasal daripada leluhur yang serumpun walaupun mereka sering berperang sesama sendiri.Setelah kita memahami situasi politik dunia ini, barulah kita dapat memahami situasi sosial manusia yang menjadi elemen penting dalam setiap tamadun tersebut.
No comments:
Post a Comment