Saturday 25 November 2017

Bangsa Yang Agung Itu Belajar Dari Sejarah

 "Kalaulah manusia di dunia ini merasakan satu sama lain perlu-memerlukan, secara langsung atau tidak secara langsung (memang begitulah keadaan manusia hakikatnya), sudah tentu manusia ini akan hidup sebagai satu keluarga dengan penuh kasih sayang dan timbang rasa serta kerjasama"            - Abuya Syeikh Imam Ashaari Muhammad  
 
Keagungan sesuatu bangsa itu ditentukan oleh kepentingan yang diberikan pada sejarah. Sejarah merupakan suatu khazanah yang amat bernilai. Sejarah adalah gedung pengalaman. Bangsa yang agung adalah bangsa yang menempah sejarah dan yang mahu mempelajari daripada sejarah. Sesuatu bangsa yang tidak mempelajari sejarah atau tidak mengambil iktibar daripada sejarah akan terus melakukan kesalahan berkali-kali yang akan berakhir dengan keruntuhan bangsa itu. Daripada sejarah kita menghargai kehormatan diri kita. Daripada sejarah juga kita dapat menginsafi kedudukan kita di dalam sejarah kemanusiaan dan alam semesta. Sejarah akan memberi kita tenaga dan landasan di dalam menempa dan membentuk tamadun baru. 
Menurut sejarah, England adalah negara yang paling rakus menjajah negara-negara umat Islam dahulu. Lebih 90% daripada negara-negara di dunia yang pernah dijajah barat adalah di bawah penguasaan England. Bakinya 10% dikongsi bersama oleh Perancis, Belanda, Jepun, Sepanyol, Itali dan lain-lain. Negara yang dijajah England atau British sekarang dikenali sebagai negara-negara Commonwealth.

Sebahagiannya adalah negara-negara umat Islam. Bayangkan kekayaan yang berjaya mereka kumpulkan. Seluruh hasil bumi, bahan mentah dari negara tersebut diangkut ke negara mereka. Apa yang paling mahal dan berharga ialah intan permata dan emas. Banyak pula artifak sejarah yang dirampas mereka. Mereka membongkar tempat-tempat simpanan khazanah harta negara yang dijajah, menyelongkar semua sudut istana-istana raja yang diceroboh. Semuanya dikumpulkan di negara mereka. Kita boleh menyaksikan sebahagian kecil daripadanya di muzium-muzium negara mereka. Atas nama penjajahan, mereka benar-benar mengaut seluruh khazanah milik negara-negara yang dijajah mereka.

Bersumberkan kekayaan dan hasil bumi tanah jajahannya itulah mereka membangunkan era 'Renaissance' di kurun 14 ke 16 masehi. Yang diangkut dari negara-negara Islam yang dijajah mereka bukan sekadar intan berlian serta emas permata tetapi adalah ratusan ribu kitab-kitab karangan para ulamak Islam di dalam pelbagai bidang kehidupan. Dunia ditipu oleh mereka dengan mengatakan mereka penemu dan pengasas pelbagai teori ilmu-ilmu baru dalam segenap bidang. Hakikatnya itu semua adalah hak umat Islam yang telah mereka rampas dan curi. bahkan dipatenkan pula semua yang mereka dapatkan dengan cara tidak bermaruah itu untuk mengekalkan ianya sebagai milik mereka. 

Tidaklah kita kesalkan itu semuanya kerana sudah ditentukan Tuhan sebagai proses perjalanan pertukaran tamadun dan pergiliran penguasaan bangsa di atas muka bumi. Tuhan pergilirkan sebagai balasan kepada beberapa kelompok bangsa dan memberi peluang pula kepada bangsa yang lain menjadi penguasa dunia. Terhadap umat Islam sememangnya sudah ditentukan, Islam hanya dapat bertahan di zawiah sufi dan pusat-pusat pengajian Islam sepanjang ratusan tahun. 
Bara api Islam hanya dapat bertahan dari sudut ibadah di masjid-masjid, zikir dan pengajian agama sahaja. Islam tidak mampu bangkit sebagai satu power yang membina empayar baru sebaliknya umat Islam di jajah, Islam dilihat hanya agama yang mundur dan lemah tidak berdaya. Demikianlah penjajahan ratusan tahun itu, memungkinkan barat mencatur negara yang dijajah, menyusun strategi mengubah hati dan pemikiran umat Islam mengejar dunia dan melupakan agama serta akhirat. Bangsa barat menjarah negara umat Islam demi penyebaran agama mereka dan menerapkan atau memaksakan sistem hidup mereka untuk diikuti oleh anak negeri yang dijajahnya terutama umat Islam.

Di negara mereka, para penjajah dan perompak ini menyelak helaian kitab-kitab khazanah pengetahuan umat Islam yang dirampas. Kitab-kitab ini lalu diterjemahkan, dikaji, diteliti dan diambil teorinya tanpa rasa malu. Terlalu banyak benda baru yang mereka temukan. Begitu banyak rahsia ilmu Islam yang dianugerahkan Tuhan kepada para ulamak Islam yang dibongkar mereka. Mereka mendapat cara membuat kompas dan pelbagai ilmu pelayaran, mengenal teori astronomi, teori perubatan, pembedahan, biologi, fizik, kimia, matematik dan sebagainya.

Kita tidak perlu sedihkan apa yang terjadi. Tuhan telah menghendaki demikian sebagai pengajaran untuk kita semua. Tuhan membiarkan umat dan empayar Islam dikeronyok musuh kerana memberi pengajaran kepada mereka serta memberi peringatan kepada kita. Jika kita ingin membangun atas nama Islam, atau ingin membina tamadun Islam kita jangan mengulangi kesilapan umat Islam terdahulu. Jika Islam dibangunkan secara lahiriah semata-mata tanpa membina jiwa umat untuk mempunyai rasa cinta dan takutkan Tuhan, segala keruntuhaan akan kembali berulang di zaman kita.

Islam mesti dibina bermula dengan pembinaann ruh umat. Maksudnya para pemimpin umat Islam mesti mendapatkan hati yang khusyuk dengan Tuhan terlebih daahulu. Rakyat dan pengikut akan mudah dibawa hati mereka kepada Tuhan jika pemimpin dapat menghayatinya terlebih dahulu. Tetapi prosesnya mesti dimulakan dengan sembahyang yang agung barulah peribadi agung dapat dilahirkan. Malangnya hari ini mana ada jemaah Islam yang serius memperkatakan tentang sembahyang sebagai sumber kekuatan umat Islam. Para pejuang lebih gemarkan seminar undang-undang Islam sehingga melambat-lambatkan sembahyang yang asas. Perkara yang wajib dan utama diketepikan manakala perkara sampingan pula yang diutamakan.

Kita sepatutnya sedang dididik untuk melakar sejarah baru bagi umat Islam. Apa yang berlaku di dalam masyarakat Islam sepatutnya adalah beratus kali ganda kesannya daripada apa yang musuh Islam lakukan. Kita sepatutnya dibina untuk memiliki cita-cita menjadi pembangun empayar tetapi masa yang sama hati kita diasak untuk memiliki rasa hamba. Rasa hamba adalah syarat sesuatu bangsa itu akan diberi peluang menguasai dunia. Inilah yang berlaku kepada para sahabat. Mereka menangis bimbangkan nasib diri masing-masing ketika menyambut kemenangan. 
Sy omar Al-Khattab masuk ke Baitul Maqdis ketika kemenangan umat Islam menguasai dengan keadaan menundukkan kepalanya tanda malu dengan Allah. Ketika berucap kepada tentera Islam yang berjaya mengambil kembali kota Jerusalem tanpa pertumpahan darah, Sy Omar mengingatkan mereka tentang 'menjaga hati'. Katanya; “Wahai para hadirin, perbaikilah apa-apa yang tersembunyi di dalam hati kamu semua, nescaya akan jadi baiklah apa-apa yang nampak di luar diri kamu dan beramallah untuk akhirat kamu semua nescaya akan dicukupkan urusan dunia kamu."

Marilah kita menyiapkan hati-hati kita seperti generasi salafussoleh disiapkan oleh para pemimpin di zaman mereka.

No comments:

Post a Comment